Monday 15 August 2011

BENING YANG TUMBUH

malam ini kulihat bening mula tumbuh
dari tiap arah


sunyi menekan bibirku
menekan langit yang menangkup lengang


hijau pandan di belakang rumah
seperti melekat bau ratib


orang tua kami seperti biasa turun ke laman
menekup bintang dengan bola mata


kejora dari langit telah lama menabur sinar
melur di sisik pagar telah lama mengembang bau


selepas terawis kitab mula dibuka
tasbih di jari telah mula dilurut


malam ini kami menyuluh cahaya
ketika doa kian bertangkup


aku ingin merasai genggamanmu
ketika selumbar nyawa masih melekat




kg.galok
ramadhan 2000                                     RUDI MAHMOOD



MENGGULUNG LULUH

di jenang bumbung mikrajmu,kaubentuk luluh jagatku
seperti gelombang gurun merancung pohon-pohon 
di jebak batin.


geram malam menggulung marah
kerlat bunga lada bergelut di lidah
talum pelita di selasar jiwa telah meluruh jelaga hitam


aku kini berada hampir di timbunan lanarmu
tapi kini tenggelam di lumut sunyi


melintas isyaratmu,memang benar
aku sangat hampir berada di lukisan maut
ketika gelonggong nyawaku memerun mimpi
seperti jerami musim panas yang menyala
sumbu makrifatku menyambar apimu


mimpi telah di sirat,letusan telah terdengar


selara culas dan bunga lalang telah menabur umur
lilit akar dan karut sulur telah melepaskan pautan


kuperah cahaya,kuhirup sumsum nafas
kini kurasa ngilu bertabuh ke langit


ketika kelongsong arasy terbuka
luluh menggulung sunyi




galok,pasir mas                                       RUDI MAHMOOD

Sunday 14 August 2011

MELINTAS KUBUR-KUBUR


aku ingin sungguh mendekatimu
meluyup selubung kasyaf
   menghampiri mata beningmu
yang tenggelam
dan tertimbus


debar gelisah
mengingatkan aku 
pada kubu terakhir


kubu yang kuranyau
membau arwah 


melekat dalam bumi hati
apa saja yang kurasa
mata beningmu merenung lukisan gelap
warna seram seperti gambar
dari pautan purba


aku datang padamu
melihat negeri yang pedih
menjelma dari kerak tanah


aku ingin menghampirimu
sambil melepas rasa resah
sambil melumat jebak takdir


aku akan datang
merasa seperti apa yang kaurasakan




pasir mas
julai 2007                                  RUDI MAHMOOD
                         







TANAH TERBUKA
(mengenang che)


kelongsong tanah terbuka menerimamu
selepas langit jumaat


selepas khutbah menangguhkan hujan
selepas solat melejuh batin
masjid baru mukim kami
tenang melepaskanmu
sambil merendahkan anak tangga
ke negeri bumi


rintik cahaya mengukus almanakmu
lukisan barzakh tergantung di perdu tanah


kulepaskan orang tua kami
kulepaskan dengan selera allah


kubang kerian
24 oktober 1996                                RUDI MAHMOOD
                                                                                                                                                             



Saturday 13 August 2011

KETIKA BAPA MENUJU BARZAKH

khat: ihsan Shukur Yahya
Ketika bapaku menuju barzakh,di saat nafas ingin berlepas,dia bertitih padaku;jangan berduka wahai anak,walau sepahit manapun hidupmu,walau serumit manapun perjalanan lahiriahmu-percayalah-bila kau mengESAkan Allah,bila kau mengenaliNya sebagai kewujudan yang satu,kau tidak akan ditinggalkan begitu saja olehNya.Perjalanan batinmu akan berlayar seperti angin,seperti kulit air yang menimpa sisik nyawa.Tidak ada siapa yang akan memahamimu seperti mana tak ada siapa menyedari kasyafmu menatap jalur daripada suatu makna kehidupan.Seulit mana kehidupan lahirmu,kau mesti kembali ke haribaan Ilahi.Kaudengarlah kata akhirku sebagai kata pengantarmu: pulanglah,kembalilah ke muara asalmu,ke titik kata permulaanmu menuju ke maqam baqa dan akan kau kenal siapa Tuhanmu,Tuhan yang menangkup sarwajagat.Ketika bapaku mencapai barzakh,ketika nyawa bergelora mengalir keluar,aku melihat awan menguning seperti musim padi meranum melumuri sekujur tubuh lahiryang berangkat pergi...

SENGAT KATA

Tertekan dalam ruang,setelah sekian lama diam senyap membisu,banyak kata huruf dan aksara terkulum dalam lipatan lidah atau tersekat dalam halkum.Terkurung dalam gua pengabadian membuat kita lupa kepada bahasa dan pertuturan.Kesedapan mengalami sebahagian daripada juzuk kehidupan kerohaniah,menjadikan kita lupa kepada bau tanah dan rumput atau bunyi angin yang mengalir melalui lubang dinding rumah.Bahkan demikian lama tanpa kata,akhirnya aku terpaksa kembali kepada bahasa.Dan bermula di sini,sahabat dan teman mungkin boleh mendengar suaraku...

KAMPUNG LAMAN

pejabat pos Kubang Kerian
sekolah kebangsaan kubang kerian
Melalui pejabat pos inilah puisiku naik van,naik kapalterbang dan berakhir dengan motosikal.Tanah tapak pejabat pos ni bekas milik datuk aku.Kampung laman aku kini dah jadi raksasa.Kubang Kerian tidak lagi mesra seperti masa kecilku.Ini tanah kelahiran yang banyak membesar jiwa,tanah pengalaman yang menanda bekas dalam hidup dan sekolah lamaku ini,sekolah kebangsaan yang banyak mengenalkan aku dengan huruf dan bahasa-hey, siapakah sahabat yang masih mengingatiku ketika beberapa teman kita telah berangkat pergi mencapai barzakh dan sesetengah kita telah menjadi terlalu tua melebihi umur.Ingin kukenang.Ingin kukenangkan kembali...

APABILA KELONGSONG TERBUKA

Apabila kelongsong terbuka,kata-kata terlihat jelas bergaul dengan maknanya.Demikian apabila kita lama membisu dengan uzlah jiwa,di gua batin,di mihrab labirin; disuatu tempat yang sunyi,diam dan kelu,tiba-tiba lidah yang sekian lama terkulum telah mengeluarkan huruf pengantarnya.Inti dari suatu makna kata yang terpendam mungkin boleh dihidupkan kembali.Mampukah saya untuk kembali menulis? Semoga melalui blog kecil ini,apabila kelongsong kata terbuka,ia akan membuka kembali kelip mataqalbu.Apa pandangan anda,rakan dan sahabat.Saya ingin kembali menemui anda...